SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA 2019
Pada 14 Jun 2019 (Jumaat) SJK
(C) Chin Hun telah mengadakan Sambutan Hari Ibu Bapa. Tujuan program ini
diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid cara-cara
menghargai jasa ibu bapa membesarkan anak-anak. Di samping itu, aktiviti ini
juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak agar menghormati dan
menghargai jasa dan bakti kedua-dua ibu bapa. Sambutan perayaan ini dapat
mengeratkan hubungan kekeluargaan dan
perpaduan di kalangan murid-murid yang berbilang bangsa di sekolah ini.
Melalui sambutan
Hari Ibu Bapa juga dapat memupuk
perasaan kasih dan sayang terhadap ibu bapa dan memberikan penghargaan kepada
mereka yang telah menjaga dan mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan
bertanggungjawab.
Sambutan bermula pada pukul 8.00 pagi dengan aktiviti membuat cup kek
secara berkumpulan. Murid-murid telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan
dikendalikan oleh beberapa orang ibu bapa yang dilantik sebagai ketua kumpulan.
Ibu bapa dan guru-guru lain membantu
murid-murid memasukkan adunan ke dalam cawan kertas. Murid-murid sangat gembira
kerana dapat melakukan aktiviti yang disukai dan tidak sabar-sabar menunggu kek
cawan siap dibakar . Sementara menunggu kek cawan siap. Cikgu Goe En En selaku
pengacara majlis mengajak murid-murid bermain permainan menggolek bola antara
anak dan ibu bapa sebagai acara
selingan.
Aktiviti berhenti rehat untuk memberi laluan
kepada murid-murid untuk berehat dan makan di kantin sekolah. Selepas itu,
dijalankan acara menghidangkan teh untuk ibu bapa. Murid-murid berlutut di
hadapan ibu bapa dan memberikan minuman teh serta mengucapkan terima kasih
kepada ibu bapa kerana telah menjaga dan mendidik mereka selama ini. Melalui
aktiviti ini, jelas kelihatan ibu bapa dan anak-anak saling berpelukan sebagai tanda kasih dan sayang. Ibu bapa
terharu apabila anak-anak menghargai jasa mereka.
Aktiviti
seterusnya adalah memberikan kad ucapan atau bunga yang dihasilkan sendiri oleh
murid-murid kepada ibu bapa. Kad ucapan ini telah dihasilkan oleh murid-murid
semasa kelas Pendidikan Seni Visual.
Aktiviti dikendalikan oleh Cikgu Amy dan Cikgu Lim Chin Kean. Sudah
pasti ibu bapa menghargai hasil usaha
yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Terdapat murid-murid yang dapat
menyediakan kad ucapan dan bunga dengan kreatif sekali.
Selain itu, tidak
ketinggalan acara bergambar bersama ibu bapa (photobooth) turut mendapat
sambutan hangat. Ibu bapa dan anak-anak juga turut bergaya dengan aksesori yang
disediakan seperti cermin mata, topi, crown, rambut berwarna warni dan belon .
Guru-guru juga tidak melepaskan peluang untuk beraksi sebagai kenang-kenangan.
Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Ibu Bapa telah mencapai
matlamatnya. Kehadiran ibu bapa yang ramai sangat dihargai oleh pihak sekolah.
Situasi ini menunjukkan ibu bapa turut memberikan sokongan kepada PIBK sekolah.
Dengan jalinan yang baik ini dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru
dan PIBG sekolah. Diharapkan usaha murni ini akan diteruskan pada masa akan datang.








