Thursday, 20 June 2019

SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA 2019

              Pada   14 Jun 2019 (Jumaat) SJK (C) Chin Hun telah mengadakan Sambutan Hari Ibu Bapa. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid cara-cara menghargai jasa ibu bapa membesarkan anak-anak. Di samping itu, aktiviti ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak agar menghormati dan menghargai jasa dan bakti kedua-dua ibu bapa. Sambutan perayaan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan  perpaduan di kalangan murid-murid yang berbilang bangsa di sekolah ini.

                Melalui sambutan Hari Ibu Bapa juga dapat  memupuk perasaan kasih dan sayang terhadap ibu bapa dan memberikan penghargaan kepada mereka yang telah menjaga dan mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan bertanggungjawab.

                Sambutan bermula pada pukul 8.00 pagi dengan aktiviti membuat cup kek secara berkumpulan. Murid-murid telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan dikendalikan oleh beberapa orang ibu bapa yang dilantik sebagai ketua kumpulan. Ibu bapa dan guru-guru  lain membantu murid-murid memasukkan adunan ke dalam cawan kertas. Murid-murid sangat gembira kerana dapat melakukan aktiviti yang disukai dan tidak sabar-sabar menunggu kek cawan siap dibakar . Sementara menunggu kek cawan siap. Cikgu Goe En En selaku pengacara majlis mengajak murid-murid bermain permainan menggolek bola antara anak dan ibu bapa sebagai  acara selingan.

                Aktiviti berhenti rehat untuk memberi laluan kepada murid-murid untuk berehat dan makan di kantin sekolah. Selepas itu, dijalankan acara menghidangkan teh untuk ibu bapa. Murid-murid berlutut di hadapan ibu bapa dan memberikan minuman teh serta mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kerana telah menjaga dan mendidik mereka selama ini. Melalui aktiviti ini, jelas kelihatan ibu bapa dan anak-anak saling berpelukan  sebagai tanda kasih dan sayang. Ibu bapa terharu apabila anak-anak menghargai jasa mereka.

                Aktiviti seterusnya adalah memberikan kad ucapan atau bunga yang dihasilkan sendiri oleh murid-murid kepada ibu bapa. Kad ucapan ini telah dihasilkan oleh murid-murid semasa kelas Pendidikan Seni Visual.  Aktiviti dikendalikan oleh Cikgu Amy dan Cikgu Lim Chin Kean. Sudah pasti ibu bapa menghargai  hasil usaha yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Terdapat murid-murid yang dapat menyediakan kad ucapan dan bunga dengan kreatif sekali.
      
                Selain itu, tidak ketinggalan acara bergambar bersama ibu bapa (photobooth) turut mendapat sambutan hangat. Ibu bapa dan anak-anak juga turut bergaya dengan aksesori yang disediakan seperti cermin mata, topi, crown, rambut berwarna warni dan belon . Guru-guru juga tidak melepaskan peluang untuk beraksi sebagai kenang-kenangan.

             Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Ibu Bapa telah mencapai matlamatnya. Kehadiran ibu bapa yang ramai sangat dihargai oleh pihak sekolah. Situasi ini menunjukkan ibu bapa turut memberikan sokongan kepada PIBK sekolah. Dengan jalinan yang baik ini dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru dan PIBG sekolah. Diharapkan usaha murni ini akan diteruskan pada masa akan datang.
            






































No comments:

Post a Comment

SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA 2019               Pada   14 Jun 2019 (Jumaat) SJK (C) Chin Hun telah mengadakan Sambutan Hari Ibu Bapa. Tuju...